Selasa, 7 April 2009

Mimpi dan Realiti?

Semua orang pasti bermimpi..ada yang percaya, ada yang kata permainan tidur.
Bagi aku pula, aku percaya mimpi itu petanda masa depan, masa lalu dan masa sekarang.
Aku juga perhatikan pada waktu manakah mimpi itu aku alami. Dalam kisah nabi-nabi juga Tuhan selalu memberi peringatan dalam mimpi dan ini berlaku di kala si pemimpi tertidur.
Oleh itu, mimpi boleh dipercayai bergantung bagaimana si pemimpi mengalaminya.

Biasanya, jika mimpi itu kualami pada jam 3.00 pagi subuh dan selepasnya, iaitu sebelum matahari meninggi itu petanda apa yang berlaku pada masa depanku. Kalau aku penat dan tertidur kerana keletihan pada waktu petang atau siang hari, itu permainan tidur, iaitu apa yang sedang aku alami sekarang diadaptasi dalam waktu rehat itu. Jika aku bermimpi sekitar jam 8.00 malam hingga jam 2.00 pagi, itu perkara yang berlaku pada masa laluku dan ini menunjukkan aku perlu belajar sesuatu dari pengalaman lalu itu.

Aku buat pemerhatian daripada pengalaman mimpiku sendiri. Orang kata taksub terhadap mimpi itu tidak elok, tapi aku percaya pada rohku dan jiwaku yang menguasai jasadku. Jasad ini cuma kereta tumpangan yang akan membawaku semasa hidup di dunia, dan pemandunya itu adalah rohku yang mana itu adalah aku yang sebenarnya. Maka, jika tidak yakin terhadap pemilik asal itu susahlah hendak membuat keputusan dan pertimbangan dalam hidup.
Sebab itu perkataan ikut kata hati mati, ikut kata binasa..itu adalah jasad, sedang pemandu yang berada dalam jasad itu susah hendak didengari keputusan yang dikehendakinya.

Baru-baru ini aku bermimpi berada di kampung. Seperti di rumah lama kami yang sudah lama tumbang ke bumi sebenarnya. Dalam mimpi itu, aku melihat adik perempuanku mendapat panggilan daripada sebuah badan organisasi untuk sebuah program. Yang menghairankan, ibu menangis bercucuran air mata sedangkan aku dan ahli keluarga lain nampak tenang sahaja.

Sekejap-sekejap ibu meminta aku menelefon adikku yang sedang menaiki kapal layar. Kapal layar itu mengelilingi Pulau Borneo, dan semasa aku menelefon bertanyakan keadaan adikku ini kapal layar yang dinaikinya masih dalam pertengahan pelayaran tersebut. Aku terbangun sekitar jam 4.00 pagi dan merenungkan mimpi itu. Aku susah hati sebab nampak ibu menangis.
Bagiku bila ibu menangis aku akan berasa lebih susah hati.

Kemudian, dua hari selepas itu tiba-tiba adik perempuanku yang kumimpi ini menghantar SMS mengatakan dia ingin melanjutkan pelajaran dalam Diploma Management Technology with Accounting di Kolej Twintech Sarawak, iaitu kerjasama bersama UTM, Skudai Johor. Dia nak balik kampung minta izin ibu bapa untuk ke sana. Aku teringat mimpiku..jadi inilah maksudnya.
Kapal layar itu adalah kapal terbang yang adikku akan naiki. Pulau Borneo yang dikelilinginya adalah Sarawak yang merupakan salah sebuah negeri di kepulauan ini.

Tentu saja ibu menangis kalau dengar berita ini. Apa tidak, sudah dua tahun adikku ini berkelana di Semenanjung Malaysia baru balik Sabah, jalan lagi..Ibu mana tidak risaukan anak daranya tu..Kata ibu, senang lagi jaga tu Khinzir di kandang berbanding jaga anak daranya yang sorang tu. Aku ketawa kecil aja..Ibu pandai pula berfalsafah padahal ibu itu buta huruf. Kesian ibu..Anak-anak dah besar, mencari rezeki dan ilmu terpaksa tinggalkan ibu sekejap. Kami bukan lupa pada ibu, malah kami berusaha membahagiakan ibu sebenarnya.

Zaman ini, tanpa ilmu, kemahiran dan wang sangat payah untuk hidup. Harapkan buah-buah hutan itu, mana mampu buat ibu hidup senang..Ibu jangan tutup mata dulu, kami anak-anak ibu tengah berusaha ni. Kami akan buat ibu senyum sampai ke telinga nanti..Doakan kami berjaya ibu!