Selasa, 9 Disember 2008
Bisa Gigitan Lipan Boleh Bawa Maut
KUALA LUMPUR: Bisa gigitan lipan boleh membawa maut kepada manusia, terutama jika mangsa gagal mendapat rawatan segera.
Walaupun tidak seteruk kesan gigitan kala jengking atau patukan ular, bisa lipan jenis tertentu boleh menyebabkan mangsa koma dan meninggal dunia jika berlaku kejutan ‘anaphylaxis’ iaitu alahan atau ‘sepsis’ iaitu jangkitan kuman serius dalam darah.
Ketua Koodinator (Klinikal) PTJ Trauma dan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Abdul Ali Raja Mohamed, berkata mangsa boleh mengalami kejutan anaphylaxis dalam masa 30 minit seperti gatal, berpeluh, jantung berdegup kencang, bengkak, sesak nafas, pening dan pengsan.
Kesan itu berlanjutan beberapa hari hingga menyebabkan masalah pada jantung mangsa, manakala sepsis pula boleh berlaku selepas tiga atau empat hari termasuk mangsa mengalami demam yang kuat.
“Kejutan anaphylaxis dan sepsis memang boleh menyebabkan mangsa maut tetapi ia boleh dikesan secara klinikal dan diubati jika segera dirawat. Bagaimanapun jarang berlaku kes kematian akibat bisa lipan,” katanya semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan meninggal dunia pagi kelmarin selepas empat hari koma, disyaki digigit lipan di rumahnya di Kampung Tanjong Siam Baru di Kuala Selangor, Selangor.
Azlina Saian, 34, mengadu digigit serangga pada 29 Disember tetapi hanya menyapu minyak gamat.
Keesokannya muka Azlina membengkak dan terpaksa dipimpin setiap kali ke bilik air hingga terpaksa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) pada 1 Januari sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Mangsa mengalami pendarahan teruk dari hidung, mulut dan kuku serta terpaksa menerima pemindahan darah. Bayi dalam kandungan meninggal dunia sebelum itu dan dilahirkan secara paksa.
Labels:
Bisa Lipan Membawa Maut
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan