Khamis, 26 Februari 2009
Aku Dalam Pengembaraan Dan Kenangan One Piece
Dulu aku ingat apalah yang best sangat dengan anime ni?
One Piece? Luffy? Zoro?Nami? Sanji? Usopp? Chopper? Nico Robin?
Tapi sekarang aku mengembara bersama mereka. Tak sabar tunggu setiap episod dan tak mahu ia tamat..Aku berkenalan dengan One Piece ketika aku berada di tingkatan 5, sekitar tahun 2002 gitu. So boleh agak dah berapa umur aku? Hehehe...
Aku taklah taksub sangat dengan dunia manga ni. Tapi bestfriend aku, Soon Nyuk Fung atau nama manjanya aku panggil Upong taksub sangat. Ketika kami belajar fizik, cikgu Johari yang terkenal dengan celotehnya yang lucu, cerita Upong lagi lucu. Sampai aku terbahak-bahak dengar dia bercerita mengenai One Piece.
Masa tu aku takda masa nak layan manga. Maklum aja duduk menumpang kat rumah pak cik, segala kelakuan amat terbatas. Siapa-siapa yang pernah rasa menumpang tu tentu faham bagaimana perasaan tinggal kat rumah orang dan dicap sebagai perosak rumahtangga. Dalam dunia aku yang tertekan tu, Upong ja lah yang datang kat rumah menjadi penghibur. Hairan aku dengan dia, orang lain sibuk prepare SPM dia sibuk dengan One Piecenya.
Masa berlalu begitu pantas. Sekarang dah tahun 2009, persahabatan ku dengan Upong turut berlalu selepas masing-masing tamat tingkatan 5. Kami sama-sama mendapat tawaran ke Matrikulasi Labuan, tapi aku tersangkut tak dapat datang disebabkan masalah kewangan. Aku merayu kat bapa minta tolong supaya tandatangan borang kemasukan ke matrikulasi, tapi dia buat endah tak endah.
Aku sedih dan kecewa..Aku hanya menghantar pemergian Upong dan rakan-rakan lain ke sana dengan air mata. Sebulan selepas mereka belajar kat sana, mereka mengirim surat dan khabar masing-masing kat aku. Macam-macam cerita lucu dan sedih mereka. Ketika aku menerima surat mereka, aku membaca setiap bait perkataan dengan linangan air mata. Tapi masa berlalu dan masing-masing sibuk dengan peperiksaan. Surat makin kurang lama-lama aku tidak menerimanya lagi.
Aku tidak menyalahkan mereka. Ini kerana selepas SPM, aku perlu berpindah rumah dan bekerja untuk menyara hidup. Aku sendiri dan sepi. Dunia ibarat bayang-bayang yang sentiasa mengekori tapi tidak menunjukkan jalan ke mana harus aku pergi. Mungkin Upong ada menghantar surat kat rumah pak cik aku, tapi oleh sebab aku tak lagi tinggal di sana aku tidak menerimanya. Maka perhubungan kami terputus begitu sahaja. Selepas menerima tamparan dan penghinaan yang hebat, aku mengemas barang-barangku dan mundar-mandir di kota kecil ini.
Aku tidak tahu ke mana arah harus aku melangkah, mujur aku terjumpa rakan sekampung, Fatimah, dialah yang sudi membawa aku ke rumah sewanya di Bandaran Berjaya. Memang sukar hidup masa tu. Aku terpaksa tidur berhimpit macam ikan sardin bersama penghuni-penghuni lain. Tapi aku bersyukur kerana tidak merempat di jalanan.
Mujur aku dapat kerja..selepas keluar masuk kedai tanpa SPM, PMR lah yang aku usung ke sana ke mari.Part time aja, RM2/jam aku sangat berterima kasih kepada Tuhan. Dengan gaji itu, dapatlah aku mengirim wang kepada keluarga di kampung, membayar sewa rumah dan keperluanku sendiri. Aku bekerja kuat kerana gajiku dibayar mengikut jam. Maka aku rela bekerja 12 jam sehari. Dalam kepenatan itu, aku terkenang kawanku Upong, Kit, Sheila, Suzie, Ika..Terngiang-ngiang Upong menyebut Gomu Gomu No..Pistol!!
Apa yang aku suka tentang One Piece adalah semangat setiakawan mereka yang sentiasa saling mempercayai dan tolong-menolong kerana menganggap mereka adalah nakama Luffy. Dalam apa jua kesusahan dan cabaran, sikap yang berbeza-beza di kalangan ahli namun Luffy sebagai kapten berjaya menyatukan nakamanya kerana sikap tanggungjawabnya sebagai ketua.
Hahahaha...Upong..Upong..di mana juga kau berada, aku harap kau bahagia. Aku selalu ingat kat kau. Bila aku rindu kat kau, aku tengok One Piece. Kadang-kadang aku nangis bila ada babak-babak tertentu yang mengingatkan aku pada kau. Kau sahabat yang baik..terima kasih kerana sudi menjadi sahabatku.
Sekarang, masa sudah 6 tahun berlalu tapi suara dan cerita kau yang lucu itu selalu berada dekat di hatiku. One Piece bukan sahaja sebuah cerita kenangan tapi aku turut mengembara bersamanya. Terima kasih kepada EiichirÅ Oda yang menulis sebuah cerita penuh pengharapan dan semangat perjuangan ini. Cerita ini bukan sahaja sesuai ditonton oleh kanak-kanak tapi orang dewasa juga..Siapa yang belum tengok tu, cuba-cubalah tengok kat NTV7 jam 10.00 pagi setiap ahad.Tapi aku dah lama tengok online sebab tak sabar..Hehehehe..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Tahniah kepada anda kerana walaupun menghadapi pelbagai rintangan tetap tabah mengharunginya. Kehidupan tidaklah mudah...menuntut banyak perjuangan. sesungguhnya kepuasan hidup ini adalah perjuangan dan kepuasan perjuangan adalah kemenangan. Teruslah berjuang...
Terima kasih Kudingking..
Hidupku baru ja bermula sebuah lagi perjuangan..
Aku mengaku kadang-kadang aku penat dan tidak tahu di mana nak dapatkan ketenangan itu..
Rasa putus asa dan sepi itu buat aku selalu sendiri..
Dan aku sendiri benci begini..
Catat Ulasan